Kita orang Melayu khususnya mahu maju amnya umat Islam pun begitu,
Para pemimpin besar dan kecil bercakap merangsang memberi semangat ke arah itu
Tapi secara umum rakyat dan pemimpin sikapnya tidak begitu,
Adakalanya sikap kita double standard,
Tangan kanan membangun tangan kiri meruntuhkan,
Begitu juga dasar setengah-setengah hal di satu sudut hendak membanteras gejala masyarakat,
Di satu sudut yang lain menggalakkan
Yang lebih malang lagi tabiat orang Melayu atau orang Islam,
Yang negatif tidak berubah ini menjadi penghalang kepada kemajuan,
Di antaranya dasar masyarakat melahirkan budaya lepak,
Samada disedari atau tidak,
Pergaulan bebas, menjadikan muda-mudi jiwanya rosak
Apabila jiwa mereka rosak, terlibat dengan dadah, pergaduhan, rokok,
zina, rogol, vandalism, curi, membuang masa sia-sia
Perangai-perangai ini menghalang kemajuan atau melambatkan kemajuan
Di samping memecahbelahkan perpaduan
Tabiat hasad dengki pula ada yang hendak maju,
ada yang hendak meruntuhkan atau menghalang
Setengahnya yang ada kuasa, menyalah gunakan kuasa
Ada orang tidak ada daya dan semangat maju dibantu akhirnya gagal maju,
Ada yang berdaya dan bersemangat maju, berusaha gigih tidak dibantu
Bahkan disekat tidak boleh maju
Berlakunya begini kerana sikap orang kita nawaitunya tidak sama
Ada yang berslogan maju bertujuan politik bukan dari hatinya
Ada yang berkuasa memilih-milih orang memberi bantuan
Kerana kroninya untuk ambil hatinya, yang tidak dibantu adalah musuhnya
Yang hasad dengki sakit hati kemajuan orang dihalang-halangnya,
Ertinya semua golongan ada mempunyai penyakit hati yang tersendiri
Tapi tidak ada golongan yang pandai mengubati
Agar kemajuan tidak terhalang menuju sasarannya
Kalau begitu bercakap hendakkan kebaikan senang
Memberi kaedah bagaimana masyarakat boleh baik itu susah
Kemajuan di semua bidang ada hubungan dengan pembangunan insan
Berubah fikirannya, jiwanya, nafsunya dan sikapnya kemajuan mudah dibangunkan
Membangun material rupanya ada hubungan dengan membangun insan
Membangunkan insaniah itulah yang tidak ada orang yang boleh melakukan
Kecuali dia orang Tuhan yang mampu melakukan
Fikirkanlah membangunkan insaniah lebih dahulu
Membangunkan material mudah dibangunkan
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi